MasyaAllah masih banyak yang belum aku sempurnakan lagi.
Rontaan jiwa
Aku perlukan teman wanita.
Aku rasa sunyi. Aku rasa sepi. Aku mahu ada teman yang ada di sisi. Yang boleh diajak berkongsi itu ini. Yang sentiasa ada ketika aku memerlukannya. Yang mencari aku ketika dia pula yang memerlu.
Aku ingin ada teman, yang sentiasa tersenyum dengan senyumanku. Yang berkongsi air mataku. Yang mendamaikan jiwa laraku. Yang menghapuskan gelisah hatiku.
Badai hati tidak terkata. Gelora jiwa sangat terasa. Sukarnya hidup berseorangan sahaja. Kala cabaran-cabaran datang menerpa. Mungkin sahaja diri akan tumbang. Seandai teman di sisi tiada.
Rasa diri ini sudah besar.
Rasa diri ini perlukan teman.
Cinta membuak-buak. Syara’ perlu dijaga. Maka aku inginkan teman. Biar diri tidak tercela.
Resah, gelisah, berpusing-pusing payah.
Siapakah yang mendengar suara hatiku?
Bantulah aku!
Muhasabah hati
Pause.
Wahai jiwa yang meronta. Aku hati memahami. Kondisimu yang tersepit ini aku juga merasai. Tetapi bukankah lebih baik kau tidak menyempit diri. Pandanglah dengan keluasan, apa kau telah bergerak dengan kesediaan?
Kau kata perlu teman. Apakah atas dasar nafsu atau memenuhi tanggungjawab Tuhan?
Kau bicara kau perlukan teman, mengisi kekosongan hidup dan membuang kelaraan. Tetapi apakah kau telah bersedia mempersiapkan diri untuk membawanya ke syurga, dan dari neraka menjauhkan?
Kau bising akan kesunyian, kesepian, itu aku memahami. Resah gelora gelisahmu itu bukan satu tipuan, itu aku tahu.
Cuma, dalam ketergesaanmu menuruti jejak kegelisahanmu itu, bukankah sepatutnya kau memandang dengan keluasan.
Bukanlah menjemput teman wanitamu itu, sekadar menyelesaikan masalahmu.
Tetapi ia juga menjemput banyak masalah dan tanggungjawab baru.
Memimpin manusia ke syurga, menjadi contoh 24 jam tanpa wujud kerehatan, mencari nafkah membina keluarga, mentarbiyah teman wanitamu itu ke jalanNya. Dan banyak lagi yang mungkin kau tidak terfikir dan jangka.
Apa, kau fikir dengan wujud teman wanitmu di sisi, maka hidupmu telah berakhir?
Tambah sedih kalau kau inginkan teman wanita dengan cara yang illegal di sisi Allah SWT.
Kadang-kadang kita lupa
Play.
Kadangkala, kita lupa akan tanggungjawab.
Berkahwin atas dasar nafsu semata memang akan wujud kerapuhan. Walaupun mungkin jalan yang diambil adalah syara’. Asas binaan terhadap rumah tangga bukan hanya perkara-perkara teknikal semata. Tetapi juga niat dan matlamat, kefahaman da kejelasan apakah erti membina keluarga.
Ramai orang menterjemah nafsu. Pada saya, hendakkan teman itu sahaja sudah satu nafsu. Tidak semestinya seks sahaja dikategorikan di dalam nafsu.
Ramai orang menterjemah kerapuhan rumah tangga. Pada saya, tidak mendidik anak dengan baik ke arah Islam, atau tidak berusaha membawa keluarga menjadi hamba yang diredhaiNya, itu sahaja sudah satu kerapuhan rumah tangga. Tidak semestinya perceraian atau pergaduhan suami isteri sahaja dinamakan kerapuhan rumah tangga.
Perkahwinan yang baik, rumah tangga yang baik, adalah apabila seseorang itu memahami apakah tujuan rumah tangga itu dibina, dan apakah sumbangan sebuah rumah tangga kepada ummah. Di sinilah dia akan melihat betapa tanggungjawabnya, lebih besar dari nafsunya. Di situlah, nafsunya akan dikekang kuat, agar dia sekurang-kurangnya berusaha untuk bersedia memikul tanggungjawab tadi.
Perkahwinan, rumah tangga, bukan isu personal sebenarnya. Ia adalah isu ummah. Batu-bata ummah adalah rumah tangga-rumah tangga. Sekiranya institusi rumah tangga ini hancur, maka rapuhlah ummah. Dan hakikat bahawa batu-bata bagi rumah tangga pula adalah individu, bukan boleh dielakkan. Justeru individu perlu memerhatikan perkara ini dengan serius. Kerana hal ini adalah tanggungjawab.
Bukan hanya tahu melayan gelora jiwa. Bukan hanya pandai berasa hati.
Penutup: Bukan isu menunggu sempurna. Isu merasa tanggungjawab dan berusaha
Kalau nak tunggu sempurna, memang sampai ke sudah kita tak akan berkahwin. Atau yang berkahwin silap haribulan akan rasa nak ceraikan pasangannya sahaja.
Manusia, memang tak akan sempurna. Berulang kali saya ingatkan.
Tetapi manusia boleh berusaha untuk bergerak ke arah kesempurnaan. Sekurang-kurangnya, jika dia tidak menjadi sempurna pun, dia adalah hampir kepada sempurna.
Apa yang cuba dihighlightkan di dalam artikel ini adalah ‘tanggungjawab’.
Kadangkala remaja gelora jiwanya besar. Tahu nak kahwin aja. Perancangan tak ada. Kefahaman tak ada. Rasa tanggungjawabnya rendah. Disiplin diri tidak dibina. Peribadi tak dilatih. Akhirnya yang terlahir hanyalah rumah tangga yang tidak mampu menyumbang secara maksima untuk kegemilangan Islam. Ini sepatutnya diperhatikan dengan serius, jika benar kita hendak mengembalikan Islam sebagai pemerintahan dunia.
Di sinilah bicaranya.
Rasa perlukan Teman Wanita?
ihsan; Langit ilahi
3 comments:
kao kenapa wak..
kenape, kenapa??
wak dah sampai seruuu~
Post a Comment