October 29, 2009

Lima fakta

PERTINGKATKAN kualiti kesihatan anda dengan lima fakta kesihatan untuk kebahagiaan anda sekeluarga.

Kebaikan kerja sampingan

SATU kajian mendedahkan golongan pesara yang bekerja secara sampingan sebelum meninggalkan dunia pekerjaan lebih rendah risikonya untuk mendapat penyakit-penyakit serius.

Lebih 12,000 orang yang berusia antara 51 hingga 61 tahun telah ditemu bual selang setiap dua tahun antara tahun 1992 dan 1998. Dalam kajian tersebut, para peserta itu juga diminta menjawab satu penilaian kesihatan mental asas.




Hasil kajian mendapati, kesihatan fizikal dan keupayaan harian diri adalah lebih baik dalam kalangan mereka yang mempunyai pekerjaan sampingan sebelum bersara. Sebabnya, penggunaan pemikiran kritikal secara berterusan dalam aktiviti harian mampu meningkatkan daya ketajaman minda.

Meneruskan pekerjaan biarpun pada usia emas pula akan membantu golongan itu mengekalkan interaksi dengan masyarakat.

Sebaliknya, bersara sepenuh masa akan mengakibatkan kurangnya penglibatan mereka dalam aktiviti masyarakat sekali gus menyukarkan tekanan ditangani. B>- Journal of Occupational Health Psychology

Kesan BPA ke atas kesihatan

PENGAMBILAN air dari botol plastik yang diperbuat daripada sejenis bahan kimia bertoksik, bisphenol A (BPA) akan meningkatkan kadar bahan racun di dalam air kencing sebanyak 70 peratus.

Para penyelidik dari Universiti Harvard dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit di Amerika Syarikat (AS) mendapati BPA mampu mengganggu sistem hormon sehingga menjurus kepada kecacatan sistem pembiakan manusia. Selain itu, ia juga dipercayai akan menyebabkan kerosakan otak, penyakit kardiovaskular, kanser, obesiti dan diabetes.

BPA ialah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam industri pembuatan botol-botol plastik dan produk pengguna yang lain.




“Pendedahan ini seharusnya menyedarkan pihak kementerian kesihatan bahawa bayi juga terdedah kepada BPA dan impaknya ke atas perkembangan bayi. Bayi terlalu muda untuk memahami kerosakan yang akan dihadapi akibat terdedah kepada bahan kimia ini,” kata Renee Sharp dari satu kumpulan aktivis alam sekitar, Environmental Working Group. Seramai 77 orang sukarelawan telah mengambil bahagian dalam kajian tersebut.

Sementara itu, Environmental Working Group telah mengeluarkan satu garis panduan tentang formula dan botol-botol bayi yang bebas BPA serta boleh ditemui di dalam laman web www.ewg.org/babysafe.

Di Minnesota, AS pula, penggunaan BPA dalam bekas-bekas makanan untuk kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah telah diharamkan. Negeri-negeri lain seperti California dan Connecticut juga mempertimbangkan pengharaman bahan tersebut. – Journal of Environmental Health Perspectives

Virus dalang kanser zakar

SEJENIS virus yang berjangkit menerusi penyakit kelamin, virus human papilloma (HPV) kini dipersalahkan sebagai punca kepada kebanyakan kes kanser zakar. HPV biasanya menjadi dalang di sebalik kanser serviks.

Satu kajian oleh para penyelidik dari Institut Onkologi Catalan di Barcelona, Sepanyol mendapati vaksin HPV berkemungkinan juga berkesan untuk mencegah kanser zakar.




Kedua-dua vaksin HPV Gardasil oleh Merk & Co dan Cervarix oleh GlaxoSmithKline telah digunakan oleh wanita untuk mencegah jangkitan HPV.

Kanser zakar yang bukan merupakan penyakit lazim menyumbang kepada kurang satu peratus daripada keseluruhan kes kanser dalam kalangan lelaki dewasa di negara-negara di Eropah dan Amerika Utara. Biarpun begitu, kadar kelaziman kes itu boleh mencecah sehingga 10 peratus di sesetengah negara Afrika dan Asia. Dalam konteks global, lebih 26,000 kes baru kanser zakar dilaporkan setiap tahun.

Satu kajian klinikal yang dijalankan dan diketuai oleh Dr. Silvia de Sanjose antara tahun 1986 hingga 2008 mendapati 46.9 peratus kes tumor yang berlaku, berkait rapat dengan HPV. Kanser serviks lazimnya disebabkan oleh dua jenis HPV iaitu jenis 16 dan 18.

Sementara itu, penggunaan Gardasil dalam mencegah luka akibat jangkitan virus itu pada pesakit lelaki dalam ujian klinikal percubaan pada November lalu dilaporkan cukup berkesan. – Journal of Clinical Pathology

Antibiotik punca masalah

SETIAP tahun, lebih separuh juta kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) menerima kesan sampingan akibat penggunaan ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor. Kira-kira lima peratus daripada kanak-kanak itu telah dimasukkan ke wad.

Pengambilan antibiotik dikenal pasti sebagai punca utama kebanyakan masalah. Antibiotik akan menyebabkan masalah serta-merta seperti ruam, sakit perut dan cirit-birit. Lebih menakutkan, masalah itu tidak bersifat sementara, malah, akan menjurus kepada pelbagai masalah lain pada kemudian hari.




Antibiotik yang memasuki tubuh kita akan membunuh bakteria-bakteria baik dalam usus, sedangkan ia sepatutnya melindungi kita daripada kebanyakan masalah kesihatan. Penghapusan bakteria-bakteria yang sihat itu akan mengakibatkan pertumbuhan sejenis kulat, candida secara berlebihan.

Pertumbuhan candida secara berlebihan boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah. Antaranya termasuk sakit kepala, jerawat, ekzema, kanser, alahan, ketidakseimbangan hormon dan sembelit. Candida boleh membiak di kawasan berbeza dalam badan pesakit yang berlainan.

Diet yang kaya dengan gula dan karbohidrat pula akan menyebabkan pembiakan candida bertambah besar. Pendek kata, pengambilan antibiotik memusnahkan sistem imunisasi asas badan dan menyumbang kepada masalah lain. – Natural News

Risiko kanser mulut

PRODUK bantuan menghentikan tabiat merokok seperti gula-gula getah nikotin, lozeng dan alat penyedut (inhaler) mungkin boleh menyebabkan pembentukan kanser mulut.

Kajian yang dijalankan oleh Majlis Penyelidikan Perubatan Britain itu menekankan penggunaan produk bantuan itu tidak harus diteruskan untuk jangka masa panjang.




“Biarpun penting untuk menggalakkan orang berhenti merokok, tetapi kajian kami mendapati kandungan nikotin di dalam gula-gula getah atau lozeng berkemungkinan meningkatkan risiko mendapat kanser mulut.

“Merokok sememangnya lebih berbahaya berbanding gula-gula getah nikotin. Tetapi, mereka yang menggunakan gula-gula ini tidak harus mengambil dos berlebihan dan perlu berbincang dengan doktor terlebih dahulu,” kata Muy-Teck The, ketua penyelidik dari Universiti London, Britain.

Kajian tersebut turut mengkaji aktiviti sejenis gen, FOXM1 yang biasanya terbentuk akibat faktor mutasi dalam kebanyakan tumor termasuk tumor mulut. Kadar perkembangan aktiviti FOXM1 itu boleh bertambah buruk jika terdedah

Tip daya penarik

LUMRAH manusia, kita tidak suka andai diri disisih dan dipinggirkan. Oleh kerana itu, kebanyakan individu gemar diberikan perhatian. Namun, untuk meraih perhatian orang lain, kita perlulah memiliki daya tarikan.

Sebenarnya, kita tidak perlu menjadi seorang yang popular seperti artis untuk meraih perhatian, tetapi dengan personaliti tertentu yang diserlahkan, sesiapapun mungkin akan melirik pandang kepada anda.

Adakalanya, perhatian amat penting kerana daripadanya tercetus keyakinan diri. Ia juga membuatkan kita optimis untuk menempuh apa juga situasi.

Berikut beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk menjadi individu menarik:

Pamerkan air muka bertenaga

Sapa orang sekeliling dengan suara jelas sambil mempamerkan air muka yang bertenaga. Sesiapapun akan berasa kagum dengan anda walau pertama kali berjumpa.

Tenang dan kawal diri

Bercakap dengan nada terkawal, tidak terlalu gopoh dan tidak terlalu teruja. Kawal emosi walaupun ketika anda sedang sakit hati.

Pakaian kemas dan bersih ke mana-mana sahaja

Biasa tengok David Beckham? Penampilannya di padang bola, ketika menghadiri majlis makan malam, pelancaran produk atau anugerah tertentu, dia cukup menyerlah.

Kenapa? Ini kerana dia selalu berpakaian kemas, bersih dan segak ke mana-mana sahaja.

Walaupun anda suka memakai baju-T dan jean, ia tidak mengapa asalkan nampak bersih, ringkas dan menarik.

Selain itu, kita perlu bijak menyesuaikan pakaian dengan situasi, keadaan atau majlis. Dengan itu, barulah kita kelihatan menonjol dan sesiapa juga akan tertarik untuk menegur kita.

Pilih yang positif, lupakan yang negatif

Jika anda pernah ada krisis dengan sesiapa atau anda pernah bertengkar dengan sesiapa, jangan ada benci. Pilihlah untuk berkawan dengannya, elak bermusuh dengannya lama-lama.

Dendam kesumat yang ada di dalam hati membuatkan anda berfikiran negatif. Ini kerana, dendam itu akan menarik sifat marah, panas baran dan perengus. Sikap-sikap ini membuatkan sesiapa sahaja kurang senang dengan anda, walaupun ibu, bapa atau adik-beradik sendiri.

Jadi, untuk menjadi individu menarik, bersedia untuk membuang sikap tersebut sekurang-kurangnya secara beransur-ansur. Pilih yang positif, lupakan yang negatif, selupa yang mungkin.

Selain itu, buang sikap negatif jauh-jauh, sejauh yang mungkin!

Berkawan dengan sesiapa sahaja

Jangan pilih dengan siapa anda berkawan. Jaga hati setiap orang. Anggap semua orang penting.

Bagi setiap individu, mereka mahu dihargai. Jadi, untuk menarik minat mereka terhadap anda, layan mereka dengan baik, pamerkan kesopanan, jaga pandangan mata (eye contact) dan jaga postur badan anda. Elak berpeluk tubuh atau menyilang kaki ketika bercakap.

Bergaullah dengan sesiapa sahaja, kerana ia akan membuatkan anda bijak menyesuaikan diri dengan semua orang, peringkat umur dan bangsa.

Bak kata pepatah, 'bila masuk kandang ayam, berkokok...masuk kandang kambing, mengembek...masuk kandang harimau, kita mengaum!'

Berterus terang, telus dan jujur

Ini tip yang paling penting. Jangan kata anda seorang yang jujur, tetapi tidak mempamerkan kejujuran dalam apa juga yang anda lakukan dan di mana anda berada.

Jangan kata anda seorang yang telus, tetapi tidak mempamerkan ketelusan dalam apa juga yang anda kerjakan.

Buat dan buktikan lebih baik daripada bercakap, sebab orang sekeliling lebih memandang apa yang anda buat. Masyarakat bijak menilai.

Mereka tahu, orang yang banyak bercakap daripada melaksanakan sesuatu atau hanya tahu mempamerkan kehebatan diri dalam kata-kata yang diucapkan tetapi kurang dari segi pencapaian.

Sentiasa senyum

Senyum merupakan aset berharga untuk diri anda. Kalau tidak, masakan seseorang boleh jatuh cinta disebabkan dengan satu senyuman sahaja. Kata orang, senyum itu sedekah. Senyuman membawa 1001 makna. Senyuman yang ikhlas dapat menenangkan hati orang lain.

Jika ada orang tidak senyum pada anda, maka hadiahkan mereka senyuman. Ia mendekatkan lagi jarak anda dengan mereka.

Banyak memberi

Masyarakat sukakan individu yang suka memberi. Tidak kisah apa-apa pun. Mungkin dari segi barangan, wang ataupun pertolongan dalam bentuk fizikal. Manusia tidak sukakan mereka yang hanya mementingkan diri sendiri. Oleh itu, belajarlah untuk memberi.

Berikan pujian

Manusia sebenarnya dahagakan pujian. Tetapi masalahnya, semua sibuk dengan hal masing-masing. Jadi, apa salahnya jika kita memberi sedikit pujian. Dengan ini, ia akan membuatkan mereka merasa bahawa mereka seorang yang berharga di mata anda. Percayalah dengan membuat orang lain bahagia, anda juga akan turut bahagia.

Mempunyai prinsip

Berprinsip merupakan ciri penting untuk menjadi individu yang menarik. Lihat pada Mahatma Gandhi. Beliau merupakan orang biasa sahaja. Tidak kaya pun. Tetapi mengapa beliau menjadi individu menarik? Sebabnya, beliau mempunyai prinsip untuk menolong masyarakat daripada dibelenggu penjajah.

Mempunyai keyakinan diri

Tip ini penting. Anda mesti mempunyai keyakinan diri terhadap diri anda. Anda mesti percaya dengan diri anda. Jika anda tidak percaya, mana mungkin orang lain juga akan percaya kepada anda.

January 1, 2009

Bila rasa malas beribadat

APAKAH kita pernah mengalami perasaan malas beribadah? Terasa berat untuk tilawah atau ada kenikmatan ketika membaca al-Quran atau solat?

Atau mungkin berasa susah bangun malam untuk qiyamulail, padahal jam dikunci untuk mengejutkan kita atau telefon bimbit sudah dipasang tetapi ketika berdering, tetap terlelap dalam tidur.


Apa yang kedengaran hanya seperti dalam mimpi dan akhirnya jam dan telefon bimbit mati sendiri atau bangun dengan setengah sedar. Selepas itu, tarik selimut dan tidur lagi. Padahal, biasanya dengan mudah boleh bangun.

Jadi, apa yang sudah terjadi dengan diri kita? Atau mungkin kita pernah merasakan mulut ini terasa berat ketika melantunkan ayat-ayat al-Quran atau mengucapkan salam kepada saudara kita. Atau mungkin kita secara sengaja memlambatkan waktu menunaikan solat?

Terkadang hati rasa meluat dengan rakan di pejabat kerana hal yang kecil atau prasangka buruk. Terkadang kita melalui hari yang kita isytiharkan hari malang atau tidak ada ‘mood’. Makin malang, kita dengan sengaja melanggar perintah Allah.

Jika hal itu terjadi pada kita, segeralah muhasabah diri. Ada apa dengan diri kita? Keadaan seperti ini jangan dibiarkan begitu saja. Lama-kelamaan ia akan terbiasa.

Seperti halnya penyakit, jika ada gejala, segera berjumpa doktor dan makan ubat agar cepat sembuh.

Begitu pula dengan ruhiyah kita. Kalau sudah ada gejala penurunan anjakan ruhiyah, segeralah kita muhasabah diri. Bagaimana hubungan kita dengan Allah dan apa yang sudah kita lakukan?

Jangan-jangan kita banyak mengerjakan maksiat hingga menghalang amalan kita. Mungkin kita tidak boleh menjaga daripada melakukan perkara yang makruh, bahkan diharamkan Allah sehingga menghalangi organ tubuh kita untuk beribadah kepada-Nya. Misalnya, kita menggunakan mata untuk menonton drama atau filem yang melalaikan meskipun cuma satu atau dua jam.

Mungkin mata kita tidak dijaga daripada melihat perkara yang tidak berguna, bahkan mengandungi maksiat. Akhirnya Allah pun tidak menjaga mata kita untuk beribadah pada-Nya. Lalu, mata kita malas untuk bangunkan kita solat malam. Mata kita rasa berat untuk beribadah, rasa berat untuk membaca buku tazkirah hati, rasa berat untuk melihat e-mel yang memberi nasihat.

Selain mata, telinga juga perlu kita jaga. Boleh jadi kita susah bangun malam untuk bertaqarub kepada Allah S.W.T kerana kita tidak menjaga telinga kita. Telinga kita gunakan untuk mendengar gosip atau muzik melalaikan, bahkan terkadang boleh terngiang-ngiang dalam memori kita kerana seharian yang didengari adalah muzik.

Akhirnya, pada waktu malam, telinga kita tidak mampu mendengar deringan jam loceng bahkan suara azan. Telinga kita rasa berat untuk mendengar tazkirah dan telinga kita bosan mendengar nasihat.

Selain itu, mulut penting untuk dijaga kerana ia banyak menjerumuskan manusia terutama wanita ke neraka. Mulut boleh menjadi sarana ghibah, fitnah dan caci maki.

Mulut tidak dapat kita kawal. Macam air saja mengata perilaku kawan-kawan. Kita tidak kenal pun dengan si polan, tapi mulut kita seronok mengata mereka. Mulut kita juga berat nak berzikir. Kenapa ini terjadi?

Begitu juga hati. Ini adalah bahagian terpenting yang perlu dijaga. Hati ibarat pemimpin manakala organ tubuh yang lain adalah komando. Hati boleh sakit, buta bahkan mati jika semakin banyak berbuat maksiat.

Hati ibarat cermin. Semakin banyak membuat maksiat, maka semakin banyak noda titik hitam di cermin itu. Atau mungkin tidak ada lagi titik hitam tapi sudah jelaga hitam yang susah dibersihkan.

Begitu pula dengan diri kita, semakin banyak kita berbuat maksiat dan tidak bertaubat, kita semakin terbiasa dengan kemaksiatan itu.

Salah satu yang menyebabkan kematian hati adalah banyak bercanda atau bergurau senda. Kita boleh bergurau senda untuk menceriakan suasana atau menciptakan suasana ukhuwah.

Tapi hendaklah memperhatikan adabnya. Perhatikan dengan siapa juga dan tidak berlebihan, apalagi adanya lelaki dan perempuan dalam satu majlis.

Tengoklah diri kita. Muhasabahlah diri kita. Jika selama ini kita belum menjaga mata, mulut, telinga, hati dan organ tubuh kita yang lain daripada kemaksiatan, segeralah kita bertaubat dan istighfar diri.

Tidak ada kata terlambat untuk kebaikan. Seharusnya kita sayang jika tidak boleh tadarus al-Quran meskipun hanya terlepas satu hari.

Kita berasa sayang jika tidak ada nikmat beribadah. Jika masih berasa sayang, jagalah diri kita dan Allah akan menjaga kita agar sentiasa dekat dengan-Nya.